Wednesday, June 19, 2019

Islam dan Kenegaraan: Suatu Perbahasan Dalam Konteks Fiqh Malaysia





Kompilasi Kertas-kertas Nadwah Ulama’ Nahdhah Jadidah (NUNJI), Parti Amanah Negara, Kuala Lumpur.2017

Ringkasan dan Ulasan Buku

ringkasnya bab pertaman buku ini adalah tulisan YB Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang membincangkan persoalan fiqh Siyasi Manhaj Malaysia. Pemikiran siasah adalah berkenaan dengan pentadbiran manusia yang terikat dengan kemaslahatan Imamah (kepimpinan). Formulasi pemikiran tersebut akhirnya melahirkan kitab al-ahkam al-Sultaniyyat oleh Abul Hasan al-Mawardi dan siyasah syariyyah fi al-Islam Rai’e wa Ra’ieyah oleh Imam Ibnu Taimiyyah. Penulisan ini berbentuk teori sebagai garis panduan bagi pelaksanaan pentadbiran negara berdasarkan waqi’ Malaysia itu sendiri.

Bab Kedua tulisan  Syeikh Sayyid Muhammad Farjani dari Parti al-Nahdhah Tunisia menceritakan pengalaman kemenangan mereka yang pertama sebagai parti komponen kerajaan. Beliau menyebut tentang beberapa cabaran, pilihan dan keputusan yang dihadapi dan dibuat. Menceritakan sebab-sebab kekalahan dalam pilihan raya kedua selepas Arab Spring dimana faktor media massa yang tidak menyebelahi dan terdapat kesukaran-kesukaran lain. Oleh itu, beliau memberi beberapa nasihat dan pandangan berkenaan tahaluf siyasi dan realiti pentadbiran yang disyorkan.

Bab ketiga pula  adalah tulisan  SyeikhDr Musa Ibrahim yang merinmngkaskan  prinsip- prinsip siasah syariyyah yang utama iaitu:
-Sistem politik Islam dibangunkan atas prinsdip menjaga maslahah (kebaikan) dan menolak mafsadah (keburukan).
- Perkara-perkara penting yang perlu diambil berat di dalam Fiqh as-Siyasah ialah Fiqh al-waqie, fiqh al-awlawiyyat, fiqh al-maalat dan fiqh al-Muwazanat.
-Fiqh Haraki  yang dibincangkan atas perubahan dan perkembangan terkini berdasarkan sirah Rasulullah SAW dan hukum2 yang dibawa berdasarkan situasi.  
- Percaya kepada proses dialog dan interaksi dengan pelbagai tamadun namun dalam masa memelihara identity Islam dan kejelasannya.
- Bersikap terbuka kepada kebudayaan asing dan sedia berdialog untuk mencapai maslahah yang sama dalam ketetapan agama Islam.


Bab Keempat adalah tulisan Dato’ Dr Siddiq Fadzil berkaitan fiqh al-Waqie dalam pembinaan fiqh Malaysia yang mana hukum dan perubahan zaman dan tempat tidak dapat dipisahkan. Namun demikian pendekatan fiqh al-waqi’ ini perlu diwaspadai batasan-batasanya agar terhindar dari ketelanjuran sama ada menjadi terlalu ekstremis atau terlalu liberal. Mengaplikasikan nass keatas waqi’ bukan sesuatu yang mudah untuk dipraktikkan kerana tanpa jawapan yang realistik, tuntas dan meyakinkan menyebabkan orang mencari jawapan di tempat lain.

Bab Kelima adalah tulisan Datuk Seri Wan Salim bin Mohd Noor, Mufti Pulau Pinang menyenaraikan beberapa cabaran utama yang yang perlu diambil kira dalam pelaksanaan syariat Islam di Malaysia. Cabaran-cabaran itu adalah dari sudut perundangan dan kehakiman, cabaran masyarakat majmuk dan sebagainya. Penulisan ini menyenaraikan cabaran tersebut adalah dengan tujuan agar ia dapat dibincangkan secara bersama untuk kelestarian pelaksanaan syariah di Malaysia.

Bab keenam ialah tulisan  Mohd Parid bin Syeikh Ahmad menjelaskan tentang susurgalur kewarganegaraan di Malaysia, istilah-istilah yang biasa terdapat kekeliruan dalam pewacanaan fiqh al-Muwatonah iaitu seperti perjanjian zimmah,bayaran jizyah dan wala’ wal bara’. Penulisan ini juga menjelaskan sumber legitimasi fiqh al-muwatonah iaitu:
-Piagam Madinah
-perjanjian Hudaibiah
-Khutbah al-Wada’
-Akad Mua’ahadah
Manakala dijelaskan mengenai prinsip-prinsip asas kewarganegaraan antaranya ialah:
-Rahmat adalah misi dan risalah Rasulullah SAW
-Kemuliaan Manusia
-kemanusian Syariat Islam
-toleransi dan kebebasan beragama dll.

Bab ketujuh ialah tulisan YB Dr. Maszlee Malik mengenai spectrum baru politik Islam moden dalm mendifinisikan fiqh al-Muwatonah, pandangan-pandangan ulama’ mengenainya, prinsip-prinsip dari Sahifah Madinah dan analisa kandungannya serta membincangkan dalam konteks situasi di Malaysia.

Bab kelapan ialah tulisan Dr Zaharuddin Abd Rahman mengenai kefahaman terhadap definisi dan istilah Jemaah Islam berdasarkan hadith-hadith Rasulullah SAW dan pandangan-pandangan ulama mengenainya. Beliau juga membuat pentarjihan serta membincangkan  berkaitan isu bai’ah dan ta’liq yang berlaku.

Bab kesembilan ialah nukilan dari Syeikh Isam Ali mengenai pelaksanaan syaria Islamiyyah di Mesir berikutan kemenangan golongan Islamis sehingga dipihak lain terdapat kebimbangan atas perkara tersebut. Dalam masa yang sama terdapat kesalahfahaman mengenai konsep syariat  dan kebolehlaksanaannya. Apatah lagi awam memahami hukum syariat hanya sebagai sebagai hukum hudud semata-mata. Oleh itu penulisan ini lebih kepada mnjelaskan makna syariat dalam ertikata yang sebenar termasuk memerangi kemiskinan, peranan wanita, keadilan dan kebebasan dan sebagainya.

Risalah Nahdah; Al-Muwatanah (Kewarganegaraan) Dalam Pembinaan Negara Bangsa


Nadwah Ulama’ Nahdhah Jadidah (NUNJI), Parti Amanah Negara, Kuala Lumpur. 2017.

Isi Kandungan:

1. Definisi Fiqh al-Muwatonah
2.Dimensi al-Muwatonah
3. Landasan Teori Fiqh al-Muwatonah
4. al-Muwatonah Menurut al-Quran dan Sunnah
5. Diantara Hak Dan Kewajipan al-Muwatonah
6. Hak-hak al Muwatin (warganegara)
7. Kedudukan Non Muslim Dzimmy Dalam Negara Islam
8. Realiti Malaysia Dan Fiqh al Muwatonah
9. Fiqh al-Muwatonah Versi Malaysia

Ringkasan Dan Ulasan Buku:

Fiqh al-Muwatonah adalah ilmu yang membicarakan secara mendalam tentang hak dan tanggungjawab warganegara secara adil dan saksama tanpa sebarang diskriminasi agama, warna kulit, keturunan, bangsa dan jantina. Pendefinisian tersebut dirumuskan dari pandangan beberapa orang ilmuwan melalui kitab-kitab karangan mereka berkaitan negara dan politik, hukum-hukumnya berdasarkan fiqh Islam.

Konsep al- Muwatonah yang dikenali dalam bahasa kita sebagai kenegaraan atau citizenship dalam Bahasa Inggeris adalah konsep asas dalam perlembagaan, undang-undang dan sosial sebuah negara moden. Namun bagi Barat democratic citizenship adalah satu penyelesaian kepada krisi puak, kaum atau agama iaitu bagi merealisasikan persamaan hak kebebasan berfikir. Walaupun istilah citizenship adalah hasil cedukan pemikiran liberal barat, ia bukanlah satu istilah yang buruk atau perlu ditentang oleh Islam kerana nilai-nilai yang al-Muwatonah di dalam Islam adalah nilai-nilai yang sama diperjuang dan dipraktik oleh Rasulullah SAW serta era pemerintahan khulafa’ ar-Rasyidin.

Antara hak-hak al-Muwatin (warganegara) ialah:
1. Hak kebebasan beragama
2. Hak untuk hidup
3. Hak untuk mempertahankan maruah dan privasi
4. Hak Mempertahankan diri dan hak mendapatkan keadilan
5.Hak terhadap ilmu dan pendidikan
6. Hak untuk bekerja & mencari nafkah halal.
7. Hak Kebebasan bersuara
8. Hak untuk menubuhkan persatuan
9. Hak untuk terlibat dalam urusan negara
10. Hak untuk menikmati layanan yang sama sebagai warganegara.

Maka hak-hak ini adalah keperluan dan realiti masyarakat dunia hari ini termasuk Malaysia walaupun penjajahan Eropah menjadikan proses perkongsian universal yang ditunjangi oleh Islam sebelum itu terganggu. Oleh itu kesediaan semua pihak untuk bersikap positif dan menghormati kepelbagaian pandangan dan kemajmukan masyarakat bagi membentuk keharmonian dan kesatuan ummah.

Tuesday, June 18, 2019

Risalah Nahdah; Demokrasi Dan Siyasah Syariyyah


Nadwah Ulama’ Nahdhah Jadidah (NUNJI), Parti Amanah Negara, Kuala Lumpur, 2017

Isi Kandungan
1. Melihat Demokrasi Bukan Satu-satunya Penyelesaian
2. Legitimasi Demokrasi Dalam Wacana Siyasah Syariyyah
3.Demokrasi Dan Syura
4. Muhasabah Pemerintahan Melalui Demokrasi
5.Tanggungjawab Rakyat Mencorak Demokrasi Dan Memperbetul.

Ringkasan Dan Ulasan Buku
Demokrasi dan Islam adalah tajuk utama selalu diperbincangkan. Pelbagai pandangan dapat dilihat dalam pemikiran dan tokoh sains politik tentang demokrasi samada positif atau negatifnya. Namun karektar demokrasi asas yang disepakati ialah:
    -     kesaksamaan
    -     kebebasan
    -     pemerintahan diangkat & diganti oleh rakyat majority
    -     kedaulatan undang-undang yang memerlukan 4 komponen iaitu:
    -     keabsahan kerajaan
    -     kawalan terhadap kuasa
    -     undang-undang yang adil
    -     kerajaan yang objektif
    -     sistem kehakiman yang jujur

Di dalam Islam demokrasi bukan satu-satunya penyelesaian kerana pemain demokrasi dan strategi dalam berdemokrasi perlu selaras dengan kehendak-kehendak syarak. Contohnya demokrasi dan syura. Ia bukan satu terma yang berlawanan Ia adalah dua perkara yang bentuknya mencari penyelesaian dengan cara perbincangan dalam menentukan keputusan yang terbaik. Syura memiliki maqasid yang baik walaupun praktikalnya berbeza dari semasa ke semasa. Al-Raysuni menyimpulkan bahawa teras utama syura ialah :
-       Mencapai keputusan yang lebih tepat
-       menghalang kecenderungan peribadi
-       Menghalang kediktatoran
-       Mengajar merendah diri
-       Memberi setiap individu hak mereka (bersuara)
-       Menggalakkan kebebasan bersuara
-       Menggalakakan kemampuan berfikir (secara kolektif)
-       Memberdaya persiapan untuk melaksanakan urusan
-       Lambang kesatuan
-       Kebertanggungjawapan bersama

Di Malaysia syura dijelmakan dalam banyak institusi contohnya mesyuarat di kementerian, jabatan, parlimen dan sebagainya.Oleh itu semua pihak perlu mengambil inisiatif berdasarkan kedudukan dan kemampuan masing-masing dalam mmeperbaiki dan memperkasakan demokrasi sehingga Islam is The way of Life dapat benar-benar dipraktikkan.

Monday, June 17, 2019

Buku: Rahmatan Lil Alamin (Konsep Dan Penjelasan)


Terbitan: 2019, JAKIM (Bahagian Maqasid Syariah)  

Ringkasan Dan Ulasan Buku:


Buku ini mengumpulkan 16 makna istilah rahmatun (rahmah) berdasar ayat-ayat al-Quran. Maksudnya ia digunapakai dengan makna berbeza berdasarkan  konteks ayat. Iaitu diberi digunapakai sebagai makna syurga, Islam, iman, kenabian, al-Quran, hujan, rezeki, nikmat, kesihatan, pemberian, kehalusan,pengampunan, keluasan, kasih sayang, pemeliharaan dan cahaya.

Maka definisi itu telah menunjukkan keluasan dan kepelbagaian makna dan sangat sesuai dengan istilah “rahmah” itu sendiri. Begitu juga amalan Rasulullah SAW sendiri dalam aspek interaksi sosial dan kerangka kemanusiaan serta penzahiran sifat hormat Baginda SAW. Antaranya ialah:
  • Menjamin keselamatan nyawa
  • berbuat baik
  • memberi penghormatan
  • menyantuni orang sakit
  • memberi dan menerima hadiah
  • bekerjasama dalam pekerjaan.
Huraian lebih terperinci berkaitan konsep rahmatan lil alamin juga dihimpun dari tafsir Ibn Katsir, Tafsir Munir, Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Tafsir at-tabari, al-Qurtubi dan as-Sabuni. Dari huraian tersebut dirumuskan bahawa konsep rahmah yang dibawa oleh Rasulullah SAW ini adalah bagi sekalian alam, samada muslim atau bukan muslim, binatang atau tumbuh-tumbuhan bahkan kepada benda mati sekalipun. Pendek kata unsur rahmat akan diperolehi apabila tidak diasingkan antara syariat yang diturunkan  dan risalah Rasulullah SAW, maka wujudlah kaitan kuat konsep rahmatan lil alamin dengan akhlak Islam.

Maka apabila kerajaan baru ini menggagaskan satu tema baru ke arah Malaysia Negara Rahmah maka usaha-usaha pentadbiran kerajaan hendaklah tampil dengan:
  • membawa keamanan dalam masyarakat,
  • menekankan aspek penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta berdasarkan maqasid syariah serta
  • memperkasa model Malaysia yang sesuai dengan keadaan, adat dan budaya bangsa tanpa meninggalkan asas-asas Islam.
Secara ringkasnya akronim pentadbiran RAHMAH dijelaskan di dalam buku ini iaitu:
  • R-Ramah (Pentadbiran yang membawa mesej santun, keprihatinan dan peduli)
  • A-Aman (Pentadbiran yang membawa mesej keamanan, keadilan dan kesejahteraan)
  • H-Harmoni (Pentadbiran yang meghargai kemajmukan, melestari hidup dalam kedamaian serta menjaga hubungan antara kaum dan agama.
  • M-Mesra (Pentadbiran yang menyediakan keselesaan perkhidmatan kepada semua lapisan masyarakat, memberikan kemudahan tanpa mengetepi kelompok minority dan berinteraksi dengan semua pihak
  • A-Alami (Pentadbiran yang membudayakan gaya hidup mesra alam, memelihara dan mengamalkan penjimatan tenaga dan cinta alam sekitar.
  • H-Hormat (Pentadbiran yang mempunyai  nilai prinsip kemanusian, kepelbagaian agama dan membina keperibadian yang dihormati sesusia dengan kemuliaan insan.


Buku: Islam & Kepelbagaian


Penulis, tarikh, penerbit : Mujahid Yusof,2018, Ilham Books,  Petaling Jaya

Tajuk Isi Kandungan Buku:


  1. Realiti Kepelbagaian
  2. Erti Rahmat
  3. Prinsip Rahmat
  4. Premis Hubungan Muslim Dan Non Muslim
  5. Realiti Islam Di Malaysia
  6. Perlembagaan Persekutuan
  7. Penafsiran Islam Dalam Perlembagaan
  8. Dasar-dasar Dan Isu
  9. Pra Syarat Politik Rahmatan
  10. Malaysia Tanpa Perkauman
  11. Model Negara Rahmat
  12. Membina Landasan Wasatiyyah Dalam Kerangka Negara Sivil
  13. Masyarakat Berakhlak
  14. Membudayakan politik damai dan rekonsilasi Nasional
  15. Menajdi Warga Dunia Membina Masa Depan Keamanan Bersama 

Ringkasan Dan Ulasan Buku:



Formula RAHMAH ialah formula yang ditemui setelah masalah dan isu perpaduan merupakan idealism yang sukar dipraktikakkan walaupun telah diusahakan sejak negara merdeka. Namun penulis menemuinya dalam sumber syariah itu sendiri iaitu yang berdiri atas dasar maslahah dan  melalui ilmu usul fiqh yang diperbincangkan oleh ulama’ silam dalam prinsip fiqh al- waqi’.

Formula RAHMAH ini juga bukan bermaksud tidak tegas dalam menyatakan iman dan kufur atau antara haq dan batil. Oleh itu buku ini hendak menjelaskan apakah  RAHMAH dalam ertikata sebenar sekaligus menjawab andaian-andaian masyarakat yang mudah melabelkan konsep rahmatan lil alamin yang dibawa ini sebagai idea  “liberal" khususnya dalam konteks hubungan diantara kaum dan agama dalam negara ini. Sedangkan ia adalah bersumberkan dalil-dalil al-Quran dan hadirh yang jelas.

Sehubungan itu, pemikiran buku ini bermula dengan penjelasan penulis terhadap konteks kepelbagaian dari sudut fitrah dan falsafah. Kemudian menjelaskan konsep dan prinsip Islam yang membawa nilai rahmat dalam kepelbagaian. Seterusnya mengenalpasti kedudukan Islam dan realiti kenegaraan dalam undang-undang dan konflik-konfik yang berlaku berkaitan kepelbagaian di negara ini.

Justeru dalam usaha membina sebuah negara rahmah perlu kepada satu model yang dibentuk berdasarkan:
  • prinsip kesederhanaan (wasatiyyah),
  • masyarakat berakhlak,
  • politik damai dan memulih hubungan nasional serta
  • mengantarabangsakan Malaysia dalam masyarakat gobal dalam membina masa depan demi keamanan bersama.

Buku: Melangkah Ke Hadapan: Landskap Muslim Demokrat Di Malaysia


Penulis, tarikh, penerbit : Mujahid Yusof, 2018, Ilham Books, Petaling Jaya.

Ringkasan dan Ulasan Buku:

Buku ini memuatkan pengalaman-pengamalan penulis mengenai idea muslim demokrat berdasarkan terjunan beliau di dalam lapangan politik. Kerana baginya muslim demokrat  ia bukan sekadar teori tetapi penghayatan, kefahaman kepada realiti dan tuntutan lokal. Namun demikian ia perlu bersama dengan imbangan pemikiran besar islamisme.

Ide muslim demokrat ini cuba dibawa dalam Parti baru Amanah yang ditubuhkan pada tahun 2015.  Walaupun sebelum ini idea menasionalkan PAS dan perpaduan nasional telah dikemukakan juga di dalam PAS sepertimana yang pernah diperkenalkan di Tunisia iaitu Tunification of Ennahda oleh Ennahda dan rahsia kejayaan Recep Tayyib Erdagon di Turki. Hasilnya pada tahun 2010 Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dibentuk dan dilancarkan. 

Oleh itu melalui buku ini penulis cuba memberi gambaran kepada pembaca bagaimana untuk bertindak kepada realiti semasa tanpa perlu hilang prinsip-prinsip utama politik Islam iaitu keadilan dan kemanusiaan dalam realiti kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia.Beliau merumuskan prinsip dalam meperjuangkan cita-cita dan harapan politiknya adalah seperti berikut:
  • Memperjuangkan universalisme  (rahmatan lil alamin)
  • Mmeperjuangkan tata-kelola kewangan yang telus (tanpa rasuah)
  • Memperjuangkan kebebasan kehakiman, agensi penguatkuasaan dan kuasa pendakwaan tersendiri untuk penguatkuasaan rasuah
  • utamakan perpaduan negara.


Penulis juga mejawab beberapa persoalan yaang dianggap kurang tepat dimana menganggap pilihan kepartian adalah penting kepada soal agama dan kaum. Sedangkan perkara tersebut boleh menyebabkan membaranya budaya takfiri dan ketaksuban yang boleh merugikan potensi sesebuah negara. Namun penulis mengakui idea ini merisikokan beliau dituduh sebagai liberal walaupun tak semestinya liberal membawa erti yang negatif. Oleh itu, di dalam buku ini juga membincangkan dan menjawab gelaran-gelaran liberal dan pluralism yang dilemparkan kepada beliau.


Buku ini juga menerangkan teori dan agenda-agenda kemalaysian dalam isu-isu kewarganegaraan seperti merungkaikan kefahaman berkaitan kategori kerakyatan, corak kepimpinan politik acuan Malaysia dan hubungan dengan rakyat. Model utama yang diperkenalkan itu ialah model Fiqh Politik Malaysia yang diterjemahkan dari tiga tema besar iaitu fiqh, siyasah dan manhaj maliziy tanpa meninggalkan teras maqasid syariah sebagai wasilah berfikir sehingga ia menjadi pemikiran maqasidik, iaitu boleh menjadi budaya pemikkiran dalam masyarakat awam. Beliau juga memberi beberapa cadangan agar para cendikiawan dan pemimpin dapat merakyat ilmu maqasid syariah.

Pada bab-bab akhir buku tersebut beberapa ulasan isu seperti isu dialog antara agama, menangani LGBT, isu-isu perundangan sepeti kata 355 dan 164, mempertahankan perlembagaan. Rumusannya buku ini adalah gabungan teori, pengalaman dan pandangan penulis dalam bentuk cadangan dan tindakan Parti Amanah membawa haluan politiknya. Maka buku-buku berbentuk ilmiah dan beridealisme seperti ini sewajarnya dibaca oleh pimpinan dan ahli-ahli politik bagi memahami situasi dan idea yang dibawa oleh penulis.

Islam Bukan Agama Teroris Islamfobia, Pertembungan Budaya Dan Perang Global Terhadap Keganasan



Penulis, tarikh, penerbit: Mujahid Yusof, 2016, Ilham Books, Petaling Jaya.

Ringkasan Buku:

Peperangan terhadap keganasan adalah realiti dunia hari ini walaupun pengganas bukan penghuni utama dunia Islam tetapi agama Islam terpalit setelah sesetengah pihak menjadikan agama sebagai tapak pelancarannya. Keganasan berlaku atas pelbagai faktor seperti penindasan, kemiskinan, dasar baru penjajahan ataupun kegagalan demokrasi.

Buku ini cuba menerang balas terhadap terhadap anggapan dimana Islam pula yang diheret dalam kancah keganasan. Maka dalam bab awal penulis berkongsi mengenai pengalamannya merantau dalam misi kemanusiaan, penceritaan pandangan terhadap tokoh-tokoh yang ditemuinya, menghayati persekitaran konflik dan penderitaan mangsa perang. Maka dari situ penulis cuba menganalisis konflik yang berlaku dan juga mendapatkan pandangan dari tokoh-tokoh besar antarabangsa mengenai isu politik di Malaysia.

Perbincangan buku ini kemudiannya ditulis dalam 5 tema atau wacana utama iaitu:

1.   wacana negara barat 
memuatkan isu prejudis barat terhadap Islam, Islam pasca tragedi 9/11, asas Idealogi memerangi keganasan, krisis pertembungan peradaban (clash of civilization), doktrinisasi islamphobia dan implikasi islamophobia sehingga kemanusiaan dan kebebasan tercabar. Oleh itu buku ini cuba menjelaskan kepada masyarakat agar dapat menilai secara adil kepada tafsiran keganasan yang dilihat kuasa besar berselindung untuk melaksanakan kepentingan geo-politiknya.

2.  wacana dunia Islam
membincangkan Geo-Politik Negara Islam yang mana berlakunya pertembungan kuasa dari kelahiran negara republik baru dan juga pertembungan dalam perebutan pengaruh sunni-syiah,  ketidakstabilan dan ilusi demokrasi disebalik Arab Spring, peperangan sivil dan konflik berterusan antara negara arab, karektreristik kepimpinan negara Islam yang lemah, keberagaman pemakaian dasar Islam dan juga kepelbagaian penafsiran Islam dalam realiti bernegara.  Kepelbagaian responsif negara-negara Islam tersebut terhadap keganasan menunjukkan bahawa keganasan memang wujud dan perlu ditangani sebulat suara dan digubal pelbagai undang-undang berkaitan.

3.  wacana ekstrimis/ aksi teroris 
Mutakhir ini pelbagai idealogi yang lebih keras berpotensi mempengaruhi masyarakat untuk bertindak dengan lebih agresif atau menjustifikasi keganasan dan berubah menjadi teroris.. Motivasi atas nama pembelaan, jihad, retorik negara Islam dan khilafah juga boleh menyumbang kepada keganasan. Penularan idealogi ‘pengganas’ terbina atas beberapa faktor:
  • Pemahaman teks al-\quran yang rigid tanpa memahami disiplin pelaksanaan dan konteks;
  • Budaya menghukum dan melabel;
  • Memahami hubungan Islam dan non muslim berdasarkan isu kafir semata-mata;
  • Rujukan kepada teks sejarah sebagai mutlak tanpa menyesuaikan mengikut keadaan;
  • Faktor-faktor itu menyebabkan kemunculan khawarij moden serta implikasi sosial dan perundangan. 
4.   wacana awam
Masyarakat awam dilihat keliru dalam memahami keganasan dalam  manipulasi persepsi yang telah dibina oleh dunia barat. Ramai juga dalam kalangan ulama dituduh menyokong idea keganasan. Namun demikian  para ulama jugalah perlu menyemakimbangkan apa yang diselewengkan oleh barat atau kumpulan yang mendoktrinkan ahlinya kepada keganasan iaitu mendefinisikan semula istilah jihad yang disalahertikan.

5.  wacana Islam
Islam tidak mudah dalam mensyariatkan peperangan atau pembunuhan kerana Islam adalah agama rahmah, penyebaran ilmu dan penyebaran Islam ialah melalui wadah asas iaitu pendidikan. Islam tidak menerima keganasan tetapi dalam masa yang sama Islam tidak boleh menerima budaya hidup bebas tanpa had.


Oleh itu jawapan kepada mengapa keganasan menjadi subur dan berkembang ialah salah satunya adalah kerana usaha giat menafikan kepelbagaian dan mahu dunia hanya tunduk kepada seorang dua manusia yang berkuasa sahaja. Keganasan disebabkan perkara-perkara inilah yang berlaku di seluruh dunia dari zaman lampau ke zaman kini. Selain dari faktor kemiskinan, ketidakpuasan hati lalu memberontak kerana mahukan kebebasan dan hak. Ia tidak terjadi dalam kelompangan semata-mata, bahkan kerana desakan faktor-faktor yang pelbagai yang perlu ditangani secara bersama-sama dengan memahami keadaan dan bersikap optimistik terhadap nilai kedamaian, kemanusiaan untuk kebaikan bersama. 

Akhir sekali, penulis juga menggesa keperibadian yang baik perlu ada dalam setiap muslim agak ia  dapat mempengaruhi dan berperanan terhadap apa yang berlaku antaranya:
  • teguh berprinsip
  • berlemah lembut, bersopan dan berhemah (mempunyai sifat rahmah)
  • mejaga kemuliaan diri iaitu hubungan dengan Allah dan manusia
  • beilmu dan berakal iaitu boleh membezakan antara yang hak dan yang batil, kebaikan dan keburukan.


Buku: Melakar Agenda Masa Depan politik Islam di Malaysia




Penulis, tarikh & penerbit: Mujahid Yusof, 2015, Ilham Books, Petaling Jaya

Tajuk Isi Kandungan 

Pengenalan: Falsafah Politik Islam
1. Pas dan Asas Perjuangan
2. Pas dan Melayu
3. Pas dan Demokrasi
4. Pas dan Transformasi Organisasi
5. Pas dan Hak Asasi Malaysia
6. Pas dan Perundangan Negara

7. Pas dan Masyarakat Majmuk

Ringkasan Buku

Isi kandungan buku ini adalah satu penjelasan kepada konflik yang dikatakan berlaku di dalam PAS iaitu antaranya berlaku pertembungan pandangan ulama’ muda dan veteran-veteran PAS yang bukan dalam kalangan ulama’. Oleh itu ia adalah satu penjelasan kepada ahli-ahli PAS bagi membuat penilaian yang objektif terhadap beberapa persoalan bagi mencapai agenda besar PAS.

Falsafah politik Islam merupakan hubungan Islam dengan politik yang mana ia membawa maksud konsep Islam menyentuh ruang kepemerintahan, kuasa, kepimpinan dan sistem mengurus atau pentadbiran itu sendiri. Di dalam Islam ia sinonim dengan istilah siyasah syariyyah iaitu fiqh utama sebagai panduan kepada konsep pemerintahan Islam.

Prinsipnya tetap  dalam menjayakan politik Islam iaitu:
i.   Prinsip kepada sumber al-Quran dan as-Sunnah
ii.  Prinsip Syura (perundingan)
iii. Prinsip Keadilan
iv. Prinsip Kebebasan
v.  Prinsip Kemanusiaan

Namun pendekatannya tiada berformat, kerana format boleh berubah-ubah mengikut acuan zaman dan tempat berdasarkan eleman kemaslahatan. 

Pendekatannya tersebut boleh dibahagikan kepada:
i.   Politik Kepartian
ii.  Politik Kerajaan dan Pentadbiran
iii. Sistem Politik Melalui Demokrasi Berparlimen
iv. Berpilihanraya.

Aplikasi kepada pendekatan-pendekatan ini lebih berbentuk rekonstruk atau memulihsemula mengikut yang dibenarkan didalam ilmu siyasah syariyyah iaitu perlu bersikap realistik dan praktikal. Penulis membincangkan isu-isu PAS dengan persekitarannya iaitu perbincangan bermula dengan  asas perjuangan, Pas dan Melayu, Pas dan Demokrasi, Pas dan Transformasi Organisasi, Pas dan Hak Asasi Malaysia, Pas dan Perundangan Negara dan Pas dan Masyarakat Majmuk

Kesimpulannya, buku kecil ini merupakan penulisan dan perbincangan yang berstruktur oleh penulis dengan menjawab semua persoalan-persoalan yang dikemukakan dalam bentuk tajuk,sub tajuk yang teratur dan huraian serta kritikan yang terbuka untuk difikirkan oleh pembaca secara objektif, realistik dan praktikal.

Buku: Malaysia Pasca Rasisme; Wajah Baru Politik Malaysia 11



Penulis,Tahun, Penerbit: Mujahid Yusof, 2014, Ilham Books, Petaling Jaya

Tajuk Isi kandungan:

1. Pembinaan Negara Bangsa

2. Apabilla Perkauman Di Politikkan
3. Kritik Sosio –Agama
4. Jalan Damai Hubungan Antara Agama
5. Pendebatan Kalimah Allah


Ringkasan Buku:

Buku ini menariknya terdapat kata pengantar oleh Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang menyatakan bahawa budaya politik rasis sewajarnya layak dibuang terus dari kamus masyarakat Malaysia kerana ia tidak akan membawa sesiapa ke mana-mana melainkan hanya menyemarakkan api permusuhan sesama sendiri. Seorang melayu tidak akan berubah kemelayuannya selama-lamanya dan begitu juga seoarang cina tidak akan menjadi melayu. Ia adalah kerana bangsa adalah ketentuan Allah SWT sejak azali dan tidak ada apa-apa yang perlu dibanggakan dengan bangsa dan darah keturunan.

Penulisan ini pada asasnya adalah idea-idea dan kritikan penulis terhadap isu-isu perkauman/rasisme di Malaysia terhadap pembentukan polisi negara. Penulis menyebut dalam prakatanya beberapa isu iaitu:

  • Beliau menganggap rasisme atau perkauman sempit adalah suatu barah yang boleh membunuh keharmonian masyarakat yang menjadi rantai mentera yang diulang-ulang tanpa penghujung.
  • Nabi SAW memperkenalkan konsep rahmatan lil alamin melalui perintah Allah SWT kepada Baginda SAW. Oleh itu, perjuangan asabiyah tidak diiktiraf oleh Islam.
  • Pengalaman dan penglibatan penulis dengan politik kepartian (PAS) kerana meyakini bahawa sifat politik PAS adalah universal. Namun kelihatannya perkembangan politik tanahair tidak banyak dapat mencairkan perkara tersebut. Oleh itu, idea-idea yang dilontarkan oleh penulis melalui penulisan-penulisannya diakui olehnya sebagai pemberontakan intelektual terhadap situasi politik yanga ada.
  • Ketidaksekataan antara seruan kepada mengukuhkan perpaduan tetapi dalam masa yang sama kita menyuburkan faktor kebencian dalam masyarakat. Situasi yang tidak konsisten ini memberi peluang kepada sesetengah pihak untuk melaksanakan agenda mereka dan boleh membinasakan apa yang telah dibangunkan oleh generasi awal negara kita.
  • Oleh itu perubahan politik perlu dilaksanakan yang mana ia merupakan satu titik permulaan kearah pengukuhan budaya dan pendidikan melalui satu pelan yang dicadangkan dan dicadangkan oleh penulis dan rakan-rakannya.


Kesimpulannya, penulisan ini merupakan himpunan idea-idea penulis yang diluahkan secara ringkas berasaskan peristiwa-peristiwa yang berlaku di Malaysia 2009-2013. Lontaran ideanya adalah bagaimana sepatutnya masyarakat berbilang bangsa memberi respon kepada isu tanpa berlebih-lebih dengan mendahulukan emosi sehingga mencetuskan konflik samada secara diam-diam mahupun terbuka. Oleh itu, poltik rahmatan dijadikan manifesto untuk memerangi politik perkauman yang sempit yang boleh menjadi barah dalam masyarakat berbilang bangsa dan agama.