Tuesday, February 16, 2021

Autoriti Fatwa Dan Pendapat Mufti Dalam Undang-Undang di Malaysia

 


Ringkasan Buku: 
Autoriti Fatwa Dan Pendapat Mufti Dalam Undang-undang di Malaysia, Karangan Mohd Kamel mat Saleh dan Mohd al-Adib Samuri. 2020, Terbitan UKM.

Buku ini mengandungi 6 bab iaitu:

a.      Bab 1: Autoriti Fatwa Di Malaysia

Bab ini mengandungi penjelasan mengenai bagaimana fatwa mempunyai kaitan dengan perlembagaan Malaysia yang memperuntukkan Islam sebagai agama persekutuan. Bab ini menjelaskan  bagaimana fatwa Rasulullah SAW mempunyai kaitan dengan pelaksanaan qada’ pada zaman Baginda SAW. Seterusnya menjelaskan bagaimana kaitan kedudukan fatwa dan qada’ (mahkamah) pada hari ini.

b.      Bab 2: Fatwa Sebagai Instrumen Undang-undang di Malaysia

Bab ini mengandungi sejarah ringkas institusi fatwa di Malaysia, kedudukannya dalam Perlembagaan Malaysia dan undang-undang negeri serta bagaimana kerjaaan negeri mempunyai kuasa untuk mewarta dan menguatkuasakan fatwa. Sehubungan itu fatwa merupakan salah satu instrumen perundangan yang boleh dijadikan hujah dari sudut perundangan syariah mahupun perundangan sivil. Ini adalah keautoritiannya sangat kuat kerana ia melibatkan pelbagai pihak dari proses menyediakan kertas fatwa, perbincangan, pengeluaran fatwa, proses pewartaan dan sebagainya.

c.       Bab 3: Kedudukan Fatwa Dan Pendapat Mufti di Mahkamah.

Bab ini mengandungi penerangan mengenai sejarah fatwa dalam Mahkamah Inggeris di Tanah Melayu. Kemudian menjelaskan bagaimana pula perkembangan hubungan fatwa dengan mahkamah di Malaysia sehingga hari ini. Terdapat juga pihak yang mencabar fatwa di mahkamah apatah lagi pelanggaran fatwa, namun demikian fatwa sentiasa menjadi elemen perundangan yang sukar dicabar keabsahannya dari sudut undang-undang dan mufti atau fatwa juga sentiasa menjadi rujukan mahkamah dalam proses penghakiman.

d.      Bab 4: Fatwa dan Pendapat Mufti di Mahkamah Syariah.

Bab ini mengandungi kes-kes mahkamah yang menjadikan  fatwa dan pendapat mufti sebagai rujukan dan diterima dalam penghakiman. Namun terdapat juga kes-kes yang mana hakim syarie juga mempunyai kapasiti untuk berijtihad dalam kes yang dibacarakan maka beliau tidak merujuk kepada fatwa atau pendapat mufti dalam penghakiman. Fatwa terbukti digunapakai dalam sesi penghakiman dengan 5 corak rujukan yang telah dikenalpasti iaitu samada merujuk kepada fatwa negeri sendiri, fatwa negeri lain, fatwa negeri dan keputusan JKMMKI bersekali, keputusan JKMMKI ataupun fatwa yang tidak diwartakan. Oleh itu walaupun keputusan JKMMKI dan fatwa yang tidak diwartakan tidak mengikat dari segi undang-undang namun menjadi terikat dengan sendiri sekiranya hakim mememutuskan untuk ia menjadi rujukan. Maka seharusnya para peguam dapat memasukkan dalam kertas penghakiman bagi mendedahkan tentang keberadaan fatwa atau keputusan JKMMKI untuk dijadikan rujukan.

e.      Bab 5: Fatwa dan Pendapat Mufti di Mahkamah Sivil

Bab ini mendedah kes-kes yang mana fatwa atau keputusan JKMMKI dijadikan rujukan oleh hakim sivil. Walaupun ia dijadikan hujjah dalam perbicaraan namun tidak semua menjadikannya sebagai autoriti  kerana bertentangan dengan undang-undang bertulis. Namun oleh kerana fatwa adalah salah satu sumber hukum Islam maka para hakim sivil menjadikannya sebagai rujukan dalam membuat keputusan kes-kes berkaitan isu  peribadi orang Islam.

f.        Bab 6: Masa Depan Fatwa di Malaysia

Bab ini merumuskan bahawa fatwa merupakan salah satu sumber hukum Islam  bagi masyarakat awam di Malaysia malah ia juga menjadi rujukan di mahkamah sama ada di mahkamah sivil atau mahkamah syariah. Oleh itu fatwa dan pandangan JKMMKI tetap mejadi rujukan berautoriti apatah lagi dengan prosesnya yang teliti dan melibatkan pelbagai peringkat dalam proses penghasilan fatwa. Lebih-lebih lagi pada hari ini isu semasa meliputi pelbagai kategori dari akidah hinggalah isu sains dan teknologi. Maka fatwa, mufti dan isntititusinya kekal relevan dalam kehidupan masyarakat kontemporari.

Ulasan: Buku ini adalah amat sesuai dibaca oleh para pelajar dan pensyarah di peringkat pengajian tinggi mahupun masyarakat Islam amnya. Namun ia sangat perlu menjadi bacaan dan rujukan  oleh para pentadbir, hakim dan para peguam nagi mendapat gambaran sebenar kepentingan fatwa dalam masyarakat Malaysia.

 

 

 

Wednesday, June 19, 2019

Islam dan Kenegaraan: Suatu Perbahasan Dalam Konteks Fiqh Malaysia





Kompilasi Kertas-kertas Nadwah Ulama’ Nahdhah Jadidah (NUNJI), Parti Amanah Negara, Kuala Lumpur.2017

Ringkasan dan Ulasan Buku

ringkasnya bab pertaman buku ini adalah tulisan YB Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang membincangkan persoalan fiqh Siyasi Manhaj Malaysia. Pemikiran siasah adalah berkenaan dengan pentadbiran manusia yang terikat dengan kemaslahatan Imamah (kepimpinan). Formulasi pemikiran tersebut akhirnya melahirkan kitab al-ahkam al-Sultaniyyat oleh Abul Hasan al-Mawardi dan siyasah syariyyah fi al-Islam Rai’e wa Ra’ieyah oleh Imam Ibnu Taimiyyah. Penulisan ini berbentuk teori sebagai garis panduan bagi pelaksanaan pentadbiran negara berdasarkan waqi’ Malaysia itu sendiri.

Bab Kedua tulisan  Syeikh Sayyid Muhammad Farjani dari Parti al-Nahdhah Tunisia menceritakan pengalaman kemenangan mereka yang pertama sebagai parti komponen kerajaan. Beliau menyebut tentang beberapa cabaran, pilihan dan keputusan yang dihadapi dan dibuat. Menceritakan sebab-sebab kekalahan dalam pilihan raya kedua selepas Arab Spring dimana faktor media massa yang tidak menyebelahi dan terdapat kesukaran-kesukaran lain. Oleh itu, beliau memberi beberapa nasihat dan pandangan berkenaan tahaluf siyasi dan realiti pentadbiran yang disyorkan.

Bab ketiga pula  adalah tulisan  SyeikhDr Musa Ibrahim yang merinmngkaskan  prinsip- prinsip siasah syariyyah yang utama iaitu:
-Sistem politik Islam dibangunkan atas prinsdip menjaga maslahah (kebaikan) dan menolak mafsadah (keburukan).
- Perkara-perkara penting yang perlu diambil berat di dalam Fiqh as-Siyasah ialah Fiqh al-waqie, fiqh al-awlawiyyat, fiqh al-maalat dan fiqh al-Muwazanat.
-Fiqh Haraki  yang dibincangkan atas perubahan dan perkembangan terkini berdasarkan sirah Rasulullah SAW dan hukum2 yang dibawa berdasarkan situasi.  
- Percaya kepada proses dialog dan interaksi dengan pelbagai tamadun namun dalam masa memelihara identity Islam dan kejelasannya.
- Bersikap terbuka kepada kebudayaan asing dan sedia berdialog untuk mencapai maslahah yang sama dalam ketetapan agama Islam.


Bab Keempat adalah tulisan Dato’ Dr Siddiq Fadzil berkaitan fiqh al-Waqie dalam pembinaan fiqh Malaysia yang mana hukum dan perubahan zaman dan tempat tidak dapat dipisahkan. Namun demikian pendekatan fiqh al-waqi’ ini perlu diwaspadai batasan-batasanya agar terhindar dari ketelanjuran sama ada menjadi terlalu ekstremis atau terlalu liberal. Mengaplikasikan nass keatas waqi’ bukan sesuatu yang mudah untuk dipraktikkan kerana tanpa jawapan yang realistik, tuntas dan meyakinkan menyebabkan orang mencari jawapan di tempat lain.

Bab Kelima adalah tulisan Datuk Seri Wan Salim bin Mohd Noor, Mufti Pulau Pinang menyenaraikan beberapa cabaran utama yang yang perlu diambil kira dalam pelaksanaan syariat Islam di Malaysia. Cabaran-cabaran itu adalah dari sudut perundangan dan kehakiman, cabaran masyarakat majmuk dan sebagainya. Penulisan ini menyenaraikan cabaran tersebut adalah dengan tujuan agar ia dapat dibincangkan secara bersama untuk kelestarian pelaksanaan syariah di Malaysia.

Bab keenam ialah tulisan  Mohd Parid bin Syeikh Ahmad menjelaskan tentang susurgalur kewarganegaraan di Malaysia, istilah-istilah yang biasa terdapat kekeliruan dalam pewacanaan fiqh al-Muwatonah iaitu seperti perjanjian zimmah,bayaran jizyah dan wala’ wal bara’. Penulisan ini juga menjelaskan sumber legitimasi fiqh al-muwatonah iaitu:
-Piagam Madinah
-perjanjian Hudaibiah
-Khutbah al-Wada’
-Akad Mua’ahadah
Manakala dijelaskan mengenai prinsip-prinsip asas kewarganegaraan antaranya ialah:
-Rahmat adalah misi dan risalah Rasulullah SAW
-Kemuliaan Manusia
-kemanusian Syariat Islam
-toleransi dan kebebasan beragama dll.

Bab ketujuh ialah tulisan YB Dr. Maszlee Malik mengenai spectrum baru politik Islam moden dalm mendifinisikan fiqh al-Muwatonah, pandangan-pandangan ulama’ mengenainya, prinsip-prinsip dari Sahifah Madinah dan analisa kandungannya serta membincangkan dalam konteks situasi di Malaysia.

Bab kelapan ialah tulisan Dr Zaharuddin Abd Rahman mengenai kefahaman terhadap definisi dan istilah Jemaah Islam berdasarkan hadith-hadith Rasulullah SAW dan pandangan-pandangan ulama mengenainya. Beliau juga membuat pentarjihan serta membincangkan  berkaitan isu bai’ah dan ta’liq yang berlaku.

Bab kesembilan ialah nukilan dari Syeikh Isam Ali mengenai pelaksanaan syaria Islamiyyah di Mesir berikutan kemenangan golongan Islamis sehingga dipihak lain terdapat kebimbangan atas perkara tersebut. Dalam masa yang sama terdapat kesalahfahaman mengenai konsep syariat  dan kebolehlaksanaannya. Apatah lagi awam memahami hukum syariat hanya sebagai sebagai hukum hudud semata-mata. Oleh itu penulisan ini lebih kepada mnjelaskan makna syariat dalam ertikata yang sebenar termasuk memerangi kemiskinan, peranan wanita, keadilan dan kebebasan dan sebagainya.

Risalah Nahdah; Al-Muwatanah (Kewarganegaraan) Dalam Pembinaan Negara Bangsa


Nadwah Ulama’ Nahdhah Jadidah (NUNJI), Parti Amanah Negara, Kuala Lumpur. 2017.

Isi Kandungan:

1. Definisi Fiqh al-Muwatonah
2.Dimensi al-Muwatonah
3. Landasan Teori Fiqh al-Muwatonah
4. al-Muwatonah Menurut al-Quran dan Sunnah
5. Diantara Hak Dan Kewajipan al-Muwatonah
6. Hak-hak al Muwatin (warganegara)
7. Kedudukan Non Muslim Dzimmy Dalam Negara Islam
8. Realiti Malaysia Dan Fiqh al Muwatonah
9. Fiqh al-Muwatonah Versi Malaysia

Ringkasan Dan Ulasan Buku:

Fiqh al-Muwatonah adalah ilmu yang membicarakan secara mendalam tentang hak dan tanggungjawab warganegara secara adil dan saksama tanpa sebarang diskriminasi agama, warna kulit, keturunan, bangsa dan jantina. Pendefinisian tersebut dirumuskan dari pandangan beberapa orang ilmuwan melalui kitab-kitab karangan mereka berkaitan negara dan politik, hukum-hukumnya berdasarkan fiqh Islam.

Konsep al- Muwatonah yang dikenali dalam bahasa kita sebagai kenegaraan atau citizenship dalam Bahasa Inggeris adalah konsep asas dalam perlembagaan, undang-undang dan sosial sebuah negara moden. Namun bagi Barat democratic citizenship adalah satu penyelesaian kepada krisi puak, kaum atau agama iaitu bagi merealisasikan persamaan hak kebebasan berfikir. Walaupun istilah citizenship adalah hasil cedukan pemikiran liberal barat, ia bukanlah satu istilah yang buruk atau perlu ditentang oleh Islam kerana nilai-nilai yang al-Muwatonah di dalam Islam adalah nilai-nilai yang sama diperjuang dan dipraktik oleh Rasulullah SAW serta era pemerintahan khulafa’ ar-Rasyidin.

Antara hak-hak al-Muwatin (warganegara) ialah:
1. Hak kebebasan beragama
2. Hak untuk hidup
3. Hak untuk mempertahankan maruah dan privasi
4. Hak Mempertahankan diri dan hak mendapatkan keadilan
5.Hak terhadap ilmu dan pendidikan
6. Hak untuk bekerja & mencari nafkah halal.
7. Hak Kebebasan bersuara
8. Hak untuk menubuhkan persatuan
9. Hak untuk terlibat dalam urusan negara
10. Hak untuk menikmati layanan yang sama sebagai warganegara.

Maka hak-hak ini adalah keperluan dan realiti masyarakat dunia hari ini termasuk Malaysia walaupun penjajahan Eropah menjadikan proses perkongsian universal yang ditunjangi oleh Islam sebelum itu terganggu. Oleh itu kesediaan semua pihak untuk bersikap positif dan menghormati kepelbagaian pandangan dan kemajmukan masyarakat bagi membentuk keharmonian dan kesatuan ummah.

Tuesday, June 18, 2019

Risalah Nahdah; Demokrasi Dan Siyasah Syariyyah


Nadwah Ulama’ Nahdhah Jadidah (NUNJI), Parti Amanah Negara, Kuala Lumpur, 2017

Isi Kandungan
1. Melihat Demokrasi Bukan Satu-satunya Penyelesaian
2. Legitimasi Demokrasi Dalam Wacana Siyasah Syariyyah
3.Demokrasi Dan Syura
4. Muhasabah Pemerintahan Melalui Demokrasi
5.Tanggungjawab Rakyat Mencorak Demokrasi Dan Memperbetul.

Ringkasan Dan Ulasan Buku
Demokrasi dan Islam adalah tajuk utama selalu diperbincangkan. Pelbagai pandangan dapat dilihat dalam pemikiran dan tokoh sains politik tentang demokrasi samada positif atau negatifnya. Namun karektar demokrasi asas yang disepakati ialah:
    -     kesaksamaan
    -     kebebasan
    -     pemerintahan diangkat & diganti oleh rakyat majority
    -     kedaulatan undang-undang yang memerlukan 4 komponen iaitu:
    -     keabsahan kerajaan
    -     kawalan terhadap kuasa
    -     undang-undang yang adil
    -     kerajaan yang objektif
    -     sistem kehakiman yang jujur

Di dalam Islam demokrasi bukan satu-satunya penyelesaian kerana pemain demokrasi dan strategi dalam berdemokrasi perlu selaras dengan kehendak-kehendak syarak. Contohnya demokrasi dan syura. Ia bukan satu terma yang berlawanan Ia adalah dua perkara yang bentuknya mencari penyelesaian dengan cara perbincangan dalam menentukan keputusan yang terbaik. Syura memiliki maqasid yang baik walaupun praktikalnya berbeza dari semasa ke semasa. Al-Raysuni menyimpulkan bahawa teras utama syura ialah :
-       Mencapai keputusan yang lebih tepat
-       menghalang kecenderungan peribadi
-       Menghalang kediktatoran
-       Mengajar merendah diri
-       Memberi setiap individu hak mereka (bersuara)
-       Menggalakkan kebebasan bersuara
-       Menggalakakan kemampuan berfikir (secara kolektif)
-       Memberdaya persiapan untuk melaksanakan urusan
-       Lambang kesatuan
-       Kebertanggungjawapan bersama

Di Malaysia syura dijelmakan dalam banyak institusi contohnya mesyuarat di kementerian, jabatan, parlimen dan sebagainya.Oleh itu semua pihak perlu mengambil inisiatif berdasarkan kedudukan dan kemampuan masing-masing dalam mmeperbaiki dan memperkasakan demokrasi sehingga Islam is The way of Life dapat benar-benar dipraktikkan.

Monday, June 17, 2019

Buku: Rahmatan Lil Alamin (Konsep Dan Penjelasan)


Terbitan: 2019, JAKIM (Bahagian Maqasid Syariah)  

Ringkasan Dan Ulasan Buku:


Buku ini mengumpulkan 16 makna istilah rahmatun (rahmah) berdasar ayat-ayat al-Quran. Maksudnya ia digunapakai dengan makna berbeza berdasarkan  konteks ayat. Iaitu diberi digunapakai sebagai makna syurga, Islam, iman, kenabian, al-Quran, hujan, rezeki, nikmat, kesihatan, pemberian, kehalusan,pengampunan, keluasan, kasih sayang, pemeliharaan dan cahaya.

Maka definisi itu telah menunjukkan keluasan dan kepelbagaian makna dan sangat sesuai dengan istilah “rahmah” itu sendiri. Begitu juga amalan Rasulullah SAW sendiri dalam aspek interaksi sosial dan kerangka kemanusiaan serta penzahiran sifat hormat Baginda SAW. Antaranya ialah:
  • Menjamin keselamatan nyawa
  • berbuat baik
  • memberi penghormatan
  • menyantuni orang sakit
  • memberi dan menerima hadiah
  • bekerjasama dalam pekerjaan.
Huraian lebih terperinci berkaitan konsep rahmatan lil alamin juga dihimpun dari tafsir Ibn Katsir, Tafsir Munir, Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Tafsir at-tabari, al-Qurtubi dan as-Sabuni. Dari huraian tersebut dirumuskan bahawa konsep rahmah yang dibawa oleh Rasulullah SAW ini adalah bagi sekalian alam, samada muslim atau bukan muslim, binatang atau tumbuh-tumbuhan bahkan kepada benda mati sekalipun. Pendek kata unsur rahmat akan diperolehi apabila tidak diasingkan antara syariat yang diturunkan  dan risalah Rasulullah SAW, maka wujudlah kaitan kuat konsep rahmatan lil alamin dengan akhlak Islam.

Maka apabila kerajaan baru ini menggagaskan satu tema baru ke arah Malaysia Negara Rahmah maka usaha-usaha pentadbiran kerajaan hendaklah tampil dengan:
  • membawa keamanan dalam masyarakat,
  • menekankan aspek penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta berdasarkan maqasid syariah serta
  • memperkasa model Malaysia yang sesuai dengan keadaan, adat dan budaya bangsa tanpa meninggalkan asas-asas Islam.
Secara ringkasnya akronim pentadbiran RAHMAH dijelaskan di dalam buku ini iaitu:
  • R-Ramah (Pentadbiran yang membawa mesej santun, keprihatinan dan peduli)
  • A-Aman (Pentadbiran yang membawa mesej keamanan, keadilan dan kesejahteraan)
  • H-Harmoni (Pentadbiran yang meghargai kemajmukan, melestari hidup dalam kedamaian serta menjaga hubungan antara kaum dan agama.
  • M-Mesra (Pentadbiran yang menyediakan keselesaan perkhidmatan kepada semua lapisan masyarakat, memberikan kemudahan tanpa mengetepi kelompok minority dan berinteraksi dengan semua pihak
  • A-Alami (Pentadbiran yang membudayakan gaya hidup mesra alam, memelihara dan mengamalkan penjimatan tenaga dan cinta alam sekitar.
  • H-Hormat (Pentadbiran yang mempunyai  nilai prinsip kemanusian, kepelbagaian agama dan membina keperibadian yang dihormati sesusia dengan kemuliaan insan.


Buku: Islam & Kepelbagaian


Penulis, tarikh, penerbit : Mujahid Yusof,2018, Ilham Books,  Petaling Jaya

Tajuk Isi Kandungan Buku:


  1. Realiti Kepelbagaian
  2. Erti Rahmat
  3. Prinsip Rahmat
  4. Premis Hubungan Muslim Dan Non Muslim
  5. Realiti Islam Di Malaysia
  6. Perlembagaan Persekutuan
  7. Penafsiran Islam Dalam Perlembagaan
  8. Dasar-dasar Dan Isu
  9. Pra Syarat Politik Rahmatan
  10. Malaysia Tanpa Perkauman
  11. Model Negara Rahmat
  12. Membina Landasan Wasatiyyah Dalam Kerangka Negara Sivil
  13. Masyarakat Berakhlak
  14. Membudayakan politik damai dan rekonsilasi Nasional
  15. Menajdi Warga Dunia Membina Masa Depan Keamanan Bersama 

Ringkasan Dan Ulasan Buku:



Formula RAHMAH ialah formula yang ditemui setelah masalah dan isu perpaduan merupakan idealism yang sukar dipraktikakkan walaupun telah diusahakan sejak negara merdeka. Namun penulis menemuinya dalam sumber syariah itu sendiri iaitu yang berdiri atas dasar maslahah dan  melalui ilmu usul fiqh yang diperbincangkan oleh ulama’ silam dalam prinsip fiqh al- waqi’.

Formula RAHMAH ini juga bukan bermaksud tidak tegas dalam menyatakan iman dan kufur atau antara haq dan batil. Oleh itu buku ini hendak menjelaskan apakah  RAHMAH dalam ertikata sebenar sekaligus menjawab andaian-andaian masyarakat yang mudah melabelkan konsep rahmatan lil alamin yang dibawa ini sebagai idea  “liberal" khususnya dalam konteks hubungan diantara kaum dan agama dalam negara ini. Sedangkan ia adalah bersumberkan dalil-dalil al-Quran dan hadirh yang jelas.

Sehubungan itu, pemikiran buku ini bermula dengan penjelasan penulis terhadap konteks kepelbagaian dari sudut fitrah dan falsafah. Kemudian menjelaskan konsep dan prinsip Islam yang membawa nilai rahmat dalam kepelbagaian. Seterusnya mengenalpasti kedudukan Islam dan realiti kenegaraan dalam undang-undang dan konflik-konfik yang berlaku berkaitan kepelbagaian di negara ini.

Justeru dalam usaha membina sebuah negara rahmah perlu kepada satu model yang dibentuk berdasarkan:
  • prinsip kesederhanaan (wasatiyyah),
  • masyarakat berakhlak,
  • politik damai dan memulih hubungan nasional serta
  • mengantarabangsakan Malaysia dalam masyarakat gobal dalam membina masa depan demi keamanan bersama.

Buku: Melangkah Ke Hadapan: Landskap Muslim Demokrat Di Malaysia


Penulis, tarikh, penerbit : Mujahid Yusof, 2018, Ilham Books, Petaling Jaya.

Ringkasan dan Ulasan Buku:

Buku ini memuatkan pengalaman-pengamalan penulis mengenai idea muslim demokrat berdasarkan terjunan beliau di dalam lapangan politik. Kerana baginya muslim demokrat  ia bukan sekadar teori tetapi penghayatan, kefahaman kepada realiti dan tuntutan lokal. Namun demikian ia perlu bersama dengan imbangan pemikiran besar islamisme.

Ide muslim demokrat ini cuba dibawa dalam Parti baru Amanah yang ditubuhkan pada tahun 2015.  Walaupun sebelum ini idea menasionalkan PAS dan perpaduan nasional telah dikemukakan juga di dalam PAS sepertimana yang pernah diperkenalkan di Tunisia iaitu Tunification of Ennahda oleh Ennahda dan rahsia kejayaan Recep Tayyib Erdagon di Turki. Hasilnya pada tahun 2010 Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dibentuk dan dilancarkan. 

Oleh itu melalui buku ini penulis cuba memberi gambaran kepada pembaca bagaimana untuk bertindak kepada realiti semasa tanpa perlu hilang prinsip-prinsip utama politik Islam iaitu keadilan dan kemanusiaan dalam realiti kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia.Beliau merumuskan prinsip dalam meperjuangkan cita-cita dan harapan politiknya adalah seperti berikut:
  • Memperjuangkan universalisme  (rahmatan lil alamin)
  • Mmeperjuangkan tata-kelola kewangan yang telus (tanpa rasuah)
  • Memperjuangkan kebebasan kehakiman, agensi penguatkuasaan dan kuasa pendakwaan tersendiri untuk penguatkuasaan rasuah
  • utamakan perpaduan negara.


Penulis juga mejawab beberapa persoalan yaang dianggap kurang tepat dimana menganggap pilihan kepartian adalah penting kepada soal agama dan kaum. Sedangkan perkara tersebut boleh menyebabkan membaranya budaya takfiri dan ketaksuban yang boleh merugikan potensi sesebuah negara. Namun penulis mengakui idea ini merisikokan beliau dituduh sebagai liberal walaupun tak semestinya liberal membawa erti yang negatif. Oleh itu, di dalam buku ini juga membincangkan dan menjawab gelaran-gelaran liberal dan pluralism yang dilemparkan kepada beliau.


Buku ini juga menerangkan teori dan agenda-agenda kemalaysian dalam isu-isu kewarganegaraan seperti merungkaikan kefahaman berkaitan kategori kerakyatan, corak kepimpinan politik acuan Malaysia dan hubungan dengan rakyat. Model utama yang diperkenalkan itu ialah model Fiqh Politik Malaysia yang diterjemahkan dari tiga tema besar iaitu fiqh, siyasah dan manhaj maliziy tanpa meninggalkan teras maqasid syariah sebagai wasilah berfikir sehingga ia menjadi pemikiran maqasidik, iaitu boleh menjadi budaya pemikkiran dalam masyarakat awam. Beliau juga memberi beberapa cadangan agar para cendikiawan dan pemimpin dapat merakyat ilmu maqasid syariah.

Pada bab-bab akhir buku tersebut beberapa ulasan isu seperti isu dialog antara agama, menangani LGBT, isu-isu perundangan sepeti kata 355 dan 164, mempertahankan perlembagaan. Rumusannya buku ini adalah gabungan teori, pengalaman dan pandangan penulis dalam bentuk cadangan dan tindakan Parti Amanah membawa haluan politiknya. Maka buku-buku berbentuk ilmiah dan beridealisme seperti ini sewajarnya dibaca oleh pimpinan dan ahli-ahli politik bagi memahami situasi dan idea yang dibawa oleh penulis.